Tujuan utama sesebuah sekolah ditubuhkan adalah untuk membentuk dan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah. Dari segi akademik, keputusan peperiksaan adalah salah satu kayu pengukur dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah. Apa yang perlu dilakukan bagi membentuk sekolah yang berkesan?
Keberkesanan sesebuah sekolah bergantung kepada enam ciri utama iaitu:
i) kepimpinan pengetua
Sesebuah sekolah yang dipimpin oleh pengetua yang mempunyai visi dan misi yang jelas serta sentiasa berkongsi visi dan misinya dengan warga sekolah yang lain sama ada guru, pelajar, staf, ibubapa, komuniti atau sesiapa saja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pengetua juga perlu sentiasa menyokong segala keperluan untuk mencapai kecemerlangan seperti sokongan moral, kewangan dan infrastruktur.Sokongan yang diberikan akan meningkatkan motivasi guru dalam mendidik pelajar dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan guru. Pengetua juga perlu lebih bersifat kepimpinan Pengajaran (Instructional Leadership) dan kepimpinan transformasional supaya lebih berfokus kepada akademik dan kemahiran pendidikan.
ii) Kualiti guru dan staf
Guru terutamanya merupakan insan yang penting dalam mendidik anak-anak pelajar. Tanpa guru, pelajar tidak akan mendapat ilmu sepenuhnya dengan mudah. Kemahiran dan kreativiti guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menentukan tahap pencapaian pelajar. Jika guru tidak bekerja dengan baik dan berkesan, maka pelajar yang akan menjadi mangsa keadaan. Semua pelajar dilahirkan dengan potensi diri yang tinggi. Kita sebagai guru perlu menggunakan kekuatan yang ada dalam berbagai bentuk untuk membantu anak didik sendiri. Kenalilah pelajar sendiri seboleh mungkin supaya pelajar merasa dihargai kerana beliau dikenali oleh guru.
iii) Pelajar
Semasa proses pembelajaran, pelajar perlu sentiasa bersedia untuk belajar sesuatu perkara baru. Pelajar datang daripada latarbelakang yang berbeza dari segi demografik sudah tentulah berbeza dari segi dapatan melalui proses pembelajaran semasa dalam kelas. Guru perlu mengambil kira keadaan pelajar sama ada mereka betul-betul bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi atau sebaliknya. Pelajar yang kurang bersedia dari segi emosi misalnya tidak akan tenang semasa sesi pembelajaran menyebabkan mereka kurang fokus dan akhirnya tidak memahami apa yang dipelajari. Kisah anak saya semasa beliau di Tahun 1 sekolah rendah amat mengingatkan saya bahawa seorang guru perlu kreatif dan sabar dalam menangani masaalah anak didik mereka. Ceritanya begini: Buku rekod markah di dalam beg sekolah anak saya telah diconteng oleh seseorang semasa beliau meninggalkan kelas sebentar untuk ke kantin. Selepas sesi rehat, beliau melihat bukunya telah diconteng. Rakan sebelahnya melihat contengan tersebut semasa beliau membuka begnya. Rakan beliau terus membawa buku itu kepada guru di hadapan kelas dan menceritakan sesuatu tanpa didengari oleh anak saya. Guru berkenaan memanggil anak saya ke hadapan dan bertanya mengapa conteng buku tersebut. Anak saya menyatakan bahawa bukan beliau yang buat tetapi dengan serta merta tanpa usul periksa guru berkenaan menampar pipinya di hadapan rakan-rakannya yang lain di dalam kelas atas sebab yang tidak dilakukannya. Beliau sangat sedih sehingga tidak dapat fokus sepanjang hari tersebut dan kesannya beliau tidak meminati subjek tersebut kerana tidak menyukai gurunya yang tidak peka dan tidak menyiasat terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan. Walaupun anak saya telahpun berusia 17 tahun, tetapi setiap kali beliau menceritakan kisah itu, beliau akan menangis sedih dan kecewa serta malu yang tidak terhingga. Jadi guru-guru semua, sama-samalah kita berusaha untuk menangani sesuatu perkara dengan cara yang kreatif, adil dan saksama supaya ianya tidak mengganggu emosi pelajar untuk belajar dan menerima apa yang diajar pada hari berkenaan.
iv) Sistem
Sistem yang digunakan disemua sekolah sebagai contohnya sistem PBS yang baru dilaksanakan adalah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya semua pelajar mendapat hak yang sama dan dikembangkan dengan cara yang hampir sama.
v) Ibubapa dan komuniti
Keberkesanan sekolah banyak juga bergantung kepada sokongan daripada pihak ibubapa dan komuniti sama ada sokongan dalam bentuk kewangan (ibubapa), tenaga seperti bantuan kemahiran daripada pusat-pusat pengajian tinggi, atau sokongan moral. Ibubapa terutamanya memainkan peranan yang amat penting bagi menyokong segala aktiviti sekolah bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan.
vi) Proses pengajaran dan pengajaran
Ini merupakan aspek yang paling penting dalam meningkatkan prestasi akademik sesebuah sekolah. Kualiti pengajaran dan pembelajaran yang baik sudah pastinya oleh guru-guru yang berkualiti dan pastinya membantu pelajar menjadi individu yang lebih baik pencapaiannya terutama di dalam peperiksaan utama di Malaysia.
Itu adalah 6 aspek utama yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah. Prestasi sekolah yang baik bukan kerana seorang individu sahaja tetapi melibatkan kerjasama dan jalinan tenaga oleh semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada segala permasaalahan yang berlaku kepada orang lain di tempat lain. Wallahualam...
No comments:
Post a Comment