Apakah yang dimaksudkan dengan sekolah berkesan? Bila ditanya kepada orang ramai, saya pasti ramai yang akan memberikan respon yang berbeza-beza mengikut pendapat masing-masing. Sebagai guru dan ibubapa, kemungkinan jawapannya adalah sekolah yang dapat menghasilkan pelajar dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan terutama peperiksaan nasional seperti UPSR, PMR dan SPM. Jikalau ditanya kepada ahli sukan pula, mungkin jawapannya berbeza iaitu sekolah yang dapat menghasilkan ahli sukan terlatih dan dapat mengharumkan nama negara dalam bidang sukan. Jikalau ditanya kepada individu yang terlibat dalam industri-industri penghasilan produk, mungkin jawapannya adalah sekolah yang dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi. Apa saja jawapannya, kita pasti semua sekolah akan mempunyai matlamat masing-masing untuk menghasilkan, mendidik dan membentuk pelajar yang cemerlang bukan saja akademik tetapi juga berkemahiran, aktif kokurikulum dan sahsiah yang terpuji.
setiap hari anak-anak ke sekolah dengan membawa harapan ibubapa untuk mencari ilmu dan berjaya dalam hidup. Anak-anak mungkin belum memahami erti sebenar persekolahan terutama anak-anak sekolah rendah. Mereka hanya tahu rutin hidup mereka perlu ke sekolah, belajar dan pada masa yang sama boleh berjumpa dan bermain dengan rakan-rakan. Mereka bergembira di sekolah tetapi ada juga yang kurang gembira ke sekolah atas sebab-sebab berkaitan dan berlaku kepada mereka. Jikalau guru tidak perasan tentang perubahan yang berlaku, maka ketidakgembiraan itu akan berterusan sehingga pelajar itu sendiri menyelesaikannya. Terlalu berat tugas guru pada masa ini dengan anak-anak generasi Y yang semakin terdedah dengan mudah kepada dunia siber. Bagaimana mewujudkan sekolah berkesan dalam keadaan anak-anak yang serba canggih dan hebat ini.
Kalau dilihat dari skop yang berbeza, maksud sekolah berkesan juga berbeza-beza. Daripada perspektif ekonomi, sekolah berkesan adalah sekolah yang berjaya dengan baik dengan kos yang paling minimum. Dari perspektif pengurusan pula, sekolah berkesan adalah sekolah yang dapat memuaskan hati pelanggan dengan menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, kokurikulum dan lain-lain. Manakala dari perspektif perindustrian pula, sekolah berkesan adalah sekolah yang dapat melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu dan dapat menggunakan kemahiran itu dalam industri mengikut bidang masing-masing. Secara tidak langsung, di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2020, kerajaan telah meningkatkan taraf sekolah vokasional dan teknik untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi pada masa akan datang.
Sekarang marilah semua guru-guru, pendidik, bakal-bakal pendidik untuk sama-sama membantu generasi ini menjadi warga yang cemerlang bukan saja dalam akademik tetapi juga kokurikulum dan sahsiah. Sama-samalah kita bekerja dengan seikhlas mungkin dengan menganggap pelajar-pelajar sebagai anak sendiri supaya bukan saja gaji diperolehi tetapi juga pahala yang berlipat bekalan akhirat nanti. Wallahualam.

No comments:
Post a Comment