Wednesday, 17 April 2013

Penambahbaikan Sekolah: Ciri-ciri sekolah berkesan

Tujuan utama sesebuah sekolah ditubuhkan adalah untuk membentuk dan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah. Dari segi akademik, keputusan peperiksaan adalah salah satu kayu pengukur dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah. Apa yang perlu dilakukan bagi membentuk sekolah yang berkesan? 
Keberkesanan sesebuah sekolah bergantung kepada enam ciri utama iaitu:
i) kepimpinan pengetua
   Sesebuah sekolah yang dipimpin oleh pengetua yang mempunyai visi dan misi yang jelas serta sentiasa berkongsi visi dan misinya dengan warga sekolah yang lain sama ada guru, pelajar, staf, ibubapa, komuniti atau sesiapa saja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pengetua juga perlu sentiasa menyokong segala keperluan untuk mencapai kecemerlangan seperti sokongan moral, kewangan dan infrastruktur.Sokongan yang diberikan akan meningkatkan motivasi guru dalam mendidik pelajar dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan guru. Pengetua juga perlu lebih bersifat kepimpinan Pengajaran (Instructional Leadership) dan kepimpinan transformasional supaya lebih berfokus kepada akademik dan kemahiran pendidikan.
ii) Kualiti guru dan staf
Guru terutamanya merupakan insan yang penting dalam mendidik anak-anak pelajar. Tanpa guru, pelajar tidak akan mendapat ilmu sepenuhnya dengan mudah. Kemahiran dan kreativiti guru dalam proses pengajaran  dan pembelajaran akan menentukan tahap pencapaian pelajar. Jika guru tidak bekerja dengan baik dan berkesan, maka pelajar yang akan menjadi mangsa keadaan. Semua pelajar dilahirkan dengan potensi diri yang tinggi. Kita sebagai guru perlu menggunakan kekuatan yang ada dalam berbagai bentuk untuk membantu anak didik sendiri. Kenalilah pelajar sendiri seboleh mungkin supaya pelajar merasa dihargai kerana beliau dikenali oleh guru.
iii) Pelajar
Semasa proses pembelajaran, pelajar perlu sentiasa bersedia untuk belajar sesuatu perkara baru. Pelajar datang daripada latarbelakang yang berbeza dari segi demografik sudah tentulah berbeza dari segi dapatan melalui proses pembelajaran semasa dalam kelas. Guru perlu mengambil kira keadaan pelajar sama ada mereka betul-betul bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi atau sebaliknya. Pelajar yang kurang bersedia dari segi emosi misalnya tidak akan tenang semasa sesi pembelajaran menyebabkan mereka kurang fokus dan akhirnya tidak memahami apa yang dipelajari. Kisah anak saya semasa beliau di Tahun 1 sekolah rendah amat mengingatkan saya bahawa seorang guru perlu kreatif dan sabar dalam menangani masaalah anak didik mereka. Ceritanya begini: Buku rekod markah di dalam beg sekolah anak saya telah diconteng oleh seseorang semasa beliau meninggalkan kelas sebentar untuk ke kantin. Selepas sesi rehat, beliau melihat bukunya telah diconteng. Rakan sebelahnya melihat contengan tersebut semasa beliau membuka begnya. Rakan beliau terus membawa buku itu kepada guru di hadapan kelas dan menceritakan sesuatu tanpa didengari oleh anak saya. Guru berkenaan memanggil anak saya ke hadapan dan bertanya mengapa conteng buku tersebut. Anak saya menyatakan bahawa bukan beliau yang buat tetapi dengan serta merta tanpa usul periksa guru berkenaan menampar pipinya di hadapan rakan-rakannya yang lain di dalam kelas atas sebab yang tidak dilakukannya. Beliau sangat sedih sehingga tidak dapat fokus sepanjang hari tersebut dan kesannya beliau tidak meminati subjek tersebut kerana tidak menyukai gurunya yang tidak peka dan tidak menyiasat terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan. Walaupun anak saya telahpun berusia 17 tahun, tetapi setiap kali beliau menceritakan kisah itu, beliau akan menangis sedih dan kecewa serta malu yang tidak terhingga. Jadi guru-guru semua, sama-samalah kita berusaha untuk menangani sesuatu perkara dengan cara yang kreatif, adil dan saksama supaya ianya tidak mengganggu emosi pelajar untuk belajar dan menerima apa yang diajar pada hari berkenaan.
iv) Sistem
Sistem yang digunakan disemua sekolah sebagai contohnya sistem PBS yang baru dilaksanakan adalah diselaraskan di seluruh Malaysia supaya semua pelajar mendapat hak yang sama dan dikembangkan dengan cara yang hampir sama.
v) Ibubapa dan komuniti
Keberkesanan sekolah banyak juga bergantung kepada sokongan daripada pihak ibubapa dan komuniti sama ada sokongan dalam bentuk kewangan (ibubapa), tenaga seperti bantuan kemahiran daripada pusat-pusat pengajian tinggi, atau sokongan moral. Ibubapa terutamanya memainkan peranan yang amat penting bagi menyokong segala aktiviti sekolah bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan.
vi) Proses pengajaran dan pengajaran
Ini merupakan aspek yang paling penting dalam meningkatkan prestasi akademik sesebuah sekolah. Kualiti pengajaran dan pembelajaran yang baik sudah pastinya oleh guru-guru yang berkualiti dan pastinya membantu pelajar menjadi individu yang lebih baik pencapaiannya terutama di dalam peperiksaan utama di Malaysia.

Itu adalah 6 aspek utama yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah. Prestasi sekolah yang baik bukan kerana seorang individu sahaja tetapi melibatkan kerjasama dan jalinan tenaga oleh semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sama-samalah  kita mengambil iktibar daripada segala   permasaalahan yang berlaku kepada orang lain di tempat lain. Wallahualam...


Tuesday, 16 April 2013

Sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah: satu gerakan

Apakah yang dimaksudkan dengan sekolah berkesan? Bila ditanya kepada orang ramai, saya pasti ramai yang akan memberikan respon yang berbeza-beza mengikut pendapat masing-masing. Sebagai guru dan ibubapa, kemungkinan jawapannya adalah sekolah yang dapat menghasilkan pelajar dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan terutama peperiksaan nasional seperti UPSR, PMR dan SPM. Jikalau ditanya kepada ahli sukan pula, mungkin jawapannya berbeza iaitu sekolah yang dapat menghasilkan ahli sukan terlatih dan dapat mengharumkan nama negara dalam bidang sukan. Jikalau ditanya kepada individu yang terlibat dalam industri-industri penghasilan produk, mungkin jawapannya adalah sekolah yang dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi. Apa saja jawapannya, kita pasti semua sekolah akan mempunyai matlamat masing-masing untuk menghasilkan, mendidik dan membentuk pelajar yang cemerlang bukan saja akademik tetapi juga berkemahiran, aktif kokurikulum dan sahsiah yang terpuji.

setiap hari anak-anak ke sekolah dengan membawa harapan ibubapa untuk mencari ilmu dan berjaya dalam hidup. Anak-anak mungkin belum memahami erti sebenar persekolahan terutama anak-anak sekolah rendah. Mereka hanya tahu rutin hidup mereka perlu ke sekolah, belajar dan pada masa yang sama boleh berjumpa dan bermain dengan rakan-rakan. Mereka bergembira di sekolah tetapi ada juga yang kurang gembira ke sekolah atas sebab-sebab berkaitan dan berlaku kepada mereka. Jikalau guru tidak perasan tentang perubahan yang berlaku, maka ketidakgembiraan itu akan berterusan sehingga pelajar itu sendiri menyelesaikannya. Terlalu berat tugas guru pada masa ini dengan anak-anak generasi Y yang semakin terdedah dengan mudah kepada dunia siber. Bagaimana mewujudkan sekolah berkesan dalam keadaan anak-anak yang serba canggih dan hebat ini. 
Kalau dilihat dari skop yang berbeza, maksud sekolah berkesan juga berbeza-beza. Daripada perspektif ekonomi, sekolah berkesan adalah sekolah yang berjaya dengan baik dengan kos yang paling minimum. Dari perspektif pengurusan pula, sekolah berkesan adalah sekolah yang dapat memuaskan hati pelanggan dengan menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, kokurikulum dan lain-lain. Manakala dari perspektif perindustrian pula, sekolah berkesan adalah sekolah yang dapat melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu dan dapat menggunakan kemahiran itu dalam industri mengikut bidang masing-masing. Secara tidak langsung, di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2020, kerajaan telah meningkatkan taraf sekolah vokasional dan teknik untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi pada masa akan datang.
Sekarang marilah semua guru-guru, pendidik, bakal-bakal pendidik untuk sama-sama membantu generasi ini menjadi warga yang cemerlang bukan saja dalam akademik tetapi juga kokurikulum dan sahsiah. Sama-samalah kita bekerja dengan seikhlas mungkin dengan menganggap pelajar-pelajar sebagai anak sendiri supaya bukan saja gaji diperolehi tetapi juga pahala yang berlipat bekalan akhirat nanti. Wallahualam.

Saturday, 13 April 2013

Kepimpinan Pengetua: tanpa kuasa dan kedudukan

Pengetua merupakan pentadbir, pengurus, ketua di sesebuah sekolah. Sudah tentulah pengetua perlu dihormati sebagai ketua sesebuah organisasi di sekolah. Alangkah bertuah dan bahagianya sesebuah sekolah jika ditadbir oleh pengetua yang tahu halatuju sekolah dan pada masa yang sama pandai mengurus dan membina hubungan yang baik dengan semua pekerja iaitu guru dan staf serta dihormati oleh semua pelajar. Amat malang sesebuah sekolah sekiranya ditabbir oleh pengetua yang hanya dihormati kerana jawatan dan bukan kerana dirinya. Mengikut John Maxwell dalam bukunya '360 degree leader', beliau mengatakan bahawa seorang pemimpin yang baik adalah yang pandai membina hubungan dan jalinan yang baik dengan semua orang dan seterusnya membina sebanyak mungkin 'networking'. Daripada 'networking inilah seseorang boleh membina pengaruh yang baik dan seterusnya menjadi pemimpin yang disegani bukan hanya kerana pangkatnya sahaja tetapi juga kerana karakter yang dipunyainya. 
Seorang pengetua yang pandai membina 'rapport' yang baik dengan semua orang adalah merupakan seorang pemimpin yang baik. Kebiasaanya pemimpin seperti ini mempunyai halatuju yang jelas dan boleh memberi semangat yang baik kepada stafnya. Pengetua seperti inilah yang biasanya akan memrintah tanpa menggunakan kuasa dan kedudukannya tetpai beliau menggunakan pengaruh yang ada padanya serta rasa hormat kepadanya yang menyebabkan semua akan bekerja dengan sebaik mungkin termasuklah guru dan pelajar.

Monday, 8 April 2013

Institusi kekeluargaan: penyokong utama keberkesanan sekolah

Secara umunya sekolah berkesan boleh ditafsirkan sebagai sekolah yang dapat merealisasikan matlamat dan objektif sekolah dengan sebaik mungkin sama ada dari segi akademik dan bukan akademik. Tidak dapat dinafikan juga bahawa ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan keberkesanan sesebuah sekolah. Di sekolah harian, masa pelajar berada bersama guru mereka hanyalah 6 -7 jam sehari sahaja sedangkan lebih banyak masa dihabiskan di tempat lain iaitu di rumah, pusat-pusat hiburan atau tempat lain yang menyeronokkan bagi remaja. Tugas guru yang semakin mencabar inilah menyebabkan berbagai-bagai kaedah digunakan untuk menarik minat pelajar ke sekolah. Keadaan ini sediikit sebanyak mempengaruhi sekolah secara amnya.
 

Sunday, 7 April 2013

Sekolah berkesan: adakah gejala ponteng petanda sekolah tidak berkesan

Pada masa kini dengan kehadiran teknologi yang semakin canggih, pelajar dan remaja banyak terpengaruh dengan dunia luar yang dianggap lebih menarik dan menyeronokkan. Tidak mustahil jika sekolah-sekolah menghadapi masaalah yang hampir sama iaitu gejala ponteng. Kebanyakan pelajar lebih suka ke tempat-tempat seperti 'cyber cafe' daripada hadir ke sekolah untuk belajar. Masaalah seperti ini merupakan masaalah yang biasa bagi kebanyakan sekolah harian. Bagaimana pula dengan sekolah berasrama? Adakah masaalah ini masih relevan?
Adakah gejala ponteng sekolah merupakan petanda bahawa sekolah berkenaan tidak berkesan?
Sekolah berasrama juga ada yang menghadapi ponteng tetapi lebih sesuai dikatakan ponteng kelas. Masaalah ponteng kelas di sekolah berasrama merupakan masaalah yang paling minimum dibandingkan dengan sekolah harian yang lebih banyak cabaran di luar sekolah. Ibubapa beranggapan anak-anak mereka ke sekolah mencari ilmu walhal anak-anak keluar ke tempat lain yang dianggap lebih menarik. Apakah peranan kita sebagai guru atau pentadbir di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.


Tuesday, 5 March 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-satu cabaran


Wahai rakan-rakan guru dan para pendidik sekelian.... Sedarkah semua bahawa salah satu anjakan dalam PPPM ini adalah untuk meningkatkan kemahiran entrepreneurship dalam generasi akan datang? Adalah satu tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh semua pendidik kerana tanggungjawab ini adalah tanggungjawanb bersama.. Sejajar dengan itu jugalah pada 4 Mac yang lalu, Perdana Menteri kita telah mengumumkan dana sebanyak 100 juta akan diberikan kepada MARA untuk meningkatakan bidang  keusahawan ini. Apa kita perlu buat?
Rakan-rakan guru sekelian, jika ada ide yang bernas untuk dikongsi, silakanlah... Ide anda amat dialu-alukan..Terima kasih banyak-banyak jika ada yang berminat untuk memberi ide...

Monday, 25 February 2013

Air yang mengalir...

kadang-kadang hidup kita diibaratkan seperti air yang sentiasa mengalir.. terus mengikut aliran.. tanpa perlu mengubahnya. Bagaimana orang yang terdahulu melaluinya, begitulah juga kita melaluinya.. Jika kitalah orangnya yang cuba mengubah laluan air tersebut, mungkin kita dianggap melakukan kesilpan atau ada juga yang menganggap kita sebagai orang yang kreatif dan berani berubah... mampukah saya menjadi seorang insan yang berani menempuh cabarab dan halangan untuk mengubah segala yang akan berlaku terutama dalam pendidikan kita... tepuk dada tanya selera dan pendapat sendiri....